Essay: Kegagalan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia

Pengenalan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu sistem yang telah dirancang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas dasar penambahbaikan di mana pihak Kementerian telah memikirkan suatu cara yang baharu bagi menangani masalah sistem Pendidikan Negara yang dikatakan terlalu berpaksikan peperiksaan. PBS merupakan satu sistem yang bersifat holistik merangkumi tiga aspek pembelajaran utama iaitu dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Pentaksiran ini telah mula dibangunkan pada tahun 2011 iaitu bagi pelajar sekolah rendah dan 2012 bagi pelajar sekolah menengah. Pada 17 Disember 2010, Mesyuarat Jemaah Menteri telah dijalankan bagi membincangkan topik ini dan keputusan telah dibuat iaitu PBS boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan Negara. Jadi, bermula tahun 2016, pelajar tingkatan 3 tidak akan lagi melaksanakan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan akan diganti dengan sistem baharu iaitu PBS. Bagi pelajar tahun 6 pula, mereka tidak akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) lagi mulai tahun ini, 2014.

Latar Belakang isu
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan salah satu komponen pentaksiran yang dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksiran nya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. PBS dirancang, ditadbir, dilihat dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Demi menjamin kualiti pelaksanaan PBS, mekanisme penyelarasan dan pemantauan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah pada sesi persekolahan tahun 2012.
Walau bagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini (2014) , KPM telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya. Ini adalah kerana guru-guru menyatakan bahawa mereka dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka, manakala ibu bapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar tingkatan 3 tahun ini yang merupakan generasi pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenal pasti permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru untuk mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan PBS.
PBS di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) terdiri daripada 5 bentuk iaitu:
a) Projek
b) Kerja Kursus
c) Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS)
d) Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS)
e) Modul
Antara isu yang telah dikesan oleh KPM dirujuk dari laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah
1) Penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan ‘descriptor’ dan pernyataan bukti yang banyak.
2) Pengurusan fail yang rencam meliputi Fail perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.
3) Perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid ke tingkatan empat (4) sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3 kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.

Punca isu
Isu Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ternyata meletakkan Kementerian Pendidikan yang diterajui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kontroversi sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Kerana PBS, kerajaan, kementerian, Muhyiddin, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, timbalan-timbalan menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan diserang siang malam, termasuk warga pendidik sendiri.
Meskipun rungutan dan keluh kesah sudah biasa kedengaran sejak sistem itu mula dilaksanakan pada 1 Januari 2011, namun keadaannya tidaklah seteruk sekarang. PBS dilaksanakan untuk menggantikan sistem peperiksaan yang sudah sekian lama diamalkan yang disifatkan membebankan pelajar. Sehubungan itu, PBS yang mempraktikkan pentaksiran secara holistik dalam menilai kemampuan pelajar dianggap jalan terbaik untuk keluar daripada masalah itu kepada suatu corak pembelajaran yang lebih baik dan sesuai dengan keperluan semasa.
Hampir dua tahun dilaksanakan, rungutan terhadap PBS mula disuarakan terutama daripada barisan pendidik dan ibu bapa. Mana tidaknya, apabila guru-guru mula merasa terbeban dengan kerja yang semakin banyak hingga terpaksa berjaga sampai ke subuh semata-mata untuk memasukkan markah pelajar-pelajar dalam sistem yang didakwa terlalu lembap. Menerusi sistem ini, prestasi pelajar tidak lagi dinilai melalui peperiksaan mahupun ujian sebaliknya dinilai setiap hari oleh guru dan markah perlu dimasukkan dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).
Ibu bapa pula merungut kerana tidak tahu prestasi anak-anak mereka di sekolah. Jika A, B, C, D, E dan F menjadi tanda aras pencapaian anak-anak mereka sebelum ini, kini tidak lagi. Akibatnya, wujud kumpulan pendesak guru yang menentang pelaksanaan sistem pendidikan itu dan merancang himpunan membantah PBS dan mendesak agar PBS dimansuhkan. Sejak isu PBS menjadi topik hangat, pelbagai respons berbeza kedengaran daripada pihak kementerian. Pada mulanya, yang banyak disebut hanya perkataan ‘bersabar’, ‘akan dikaji semula’ dan ‘tambah baik’. Namun akhirnya keluar juga perkataan ‘tangguh’.
Makin kelam kabut makin berserabut. Jika diperhatikan, perjalanan pelaksanaan PBS yang pelbagai versi disampaikan kepada warga pendidik dan pelajar malah kenyataan daripada orang atasan kementerian juga tidak konsisten hingga menyebabkan keadaan semakin kelam kabut, mana satu yang mahu diterima antara kenyataan menteri yang juga timbalan perdana menteri atau menteri ii?
Jika diperhatikan, perjalanan pelaksanaan PBS yang pelbagai versi disampaikan kepada warga pendidik dan pelajar malah kenyataan daripada orang atasan kementerian juga tidak konsisten hingga menyebabkan keadaan semakin kelam kabut, mana satu yang mahu diterima antara kenyataan menteri yang juga timbalan perdana menteri atau menteri II?
Tinjauan di laman mikro Twitter pula mendapati, rata-rata pelajar dan ibu bapa keliru mengenai status PBS itu sendiri terutama buat pelajar yang berada di tingkatan tiga. Persoalan mengenai peperiksaan PMR masih menjadi persoalan hingga hari ini. Tidak kurang juga yang mengkritik tentang tindakan kementerian seolah-olah memperjudikan masa depan anak bangsa dengan pelaksanaan PBS yang tidak dikaji secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.
Namun, kita mengharapkan yang terbaik dalam sistem pendidikan negara kerana kelangsungan sistem itu adalah bakal pencorak masa depan bangsa sekali gus pewaris negara.

Implikasi isu
Kegagalan perlaksanaan Sistem PBS ini nampaknya kian hangat dan telah menimbulkan pelbagai keluh resah dari ramai pihak sehingga mendatangkan pelbagai kesan negatif. Banyak pihak nampaknya berang dengan kewujudan sistem ini. Setelah tiga tahun lebih sistem ini ditubuhkan , terdapat banyak masalah yang menyelubungi pihak pelajar. Maka, disebabkan tindakan lambat diambil untuk masalah ini, menyebabkan banyak pihak telah mengambil tindakan sendiri. Kesannya, pihak atasan juga yang perlu menangani dan menjawab lagi persoalan-persoalan yang bertalu-talu ini. Lantas, bertambah lagilah beban mereka di samping beban yang sedia ada.
Antara tindakan yang diambil adalah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini. Kesatuan ini asalnya dari Kangar, Perlis.
Hashim Adnan 2013 berkata ‘Guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat’. Beliau menyambung lagi ‘prestasi guru turut dinilai melalui PBS, dan sistem akses yang sering terganggu menyebabkan kebanyakan guru tidak cukup tidur kerana ingin memasukkan data bagi memastikan mereka diberi penilaian sempurna.’
Justeru, beliau berkata, ‘mesyuarat Exco KPPK baru-baru ini memutuskan untuk menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan sistem itu, yang diperkenal pada 2011.
Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan di seluruh negara,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Timbalan Presiden KPPK Tey Meng Seng dan Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng.
Beliau turut menyifatkan PBS sebagai sebuah kereta baharu yang kelihatan cantik namun pemandunya tidak boleh menggerakkan kenderaan itu kerana ketiadaan tayar. Hashim berkata lagi, ‘KPPK juga menolak pelaksanaan E-Prestasi, yang sepatutnya dilaksana pada 2015 namun dipercepat ke tahun ini (2013), bagi menilai prestasi guru kerana masih ramai yang kabur tentangnya.’

E-Prestasi menimbulkan rungutan bukan sahaja dalam kalangan guru malah pengetua dan guru besar kerana mereka sering dipersalahkan jika sistem itu gagal menghantar laporan kepada kementerian. “Sebaiknya sebelum melaksanakan apa jua sistem, keberkesanannya perlu diuji dan bukan menyalahkan guru apabila terdapat kegagalan,” katanya. Beliau juga berkata, ‘KPPK bimbang pelaksanaan sistem yang menyukarkan akan menyebabkan guru tertekan sehingga memberi kesan negatif terhadap tugasan dan pelajar mereka’.
Selain itu, ada juga laporan dari akhbar-akhbar yang turut mempertikai tindakan Sistem PBS ini. Menurut Nor Izzat, 2013 berpendapat ‘Sistem PBS ini kita terima sebenarnya. Pada awalnya, sistem ini di atas kertas cantik tapi apabila sampai kepada pelaksanaannya di sekolah-sekolah, ia mengalami banyak masalah dan timbul perkara yang di luar jangkaan kementerian. saya pun tak pasti sama ada mereka sudah memikirkan masalah itu atau tidak tetapi perkara itu berlaku kerana sistem ini diambil…saya difahamkan daripada Australia kemudian dibawa masuk ke Malaysia dan hanya melalui perbincangan selama lima tahun. kemudian satu percubaan dilakukan di sekolah-sekolah yang saya dimaklumkan di melaka tapi sekolah-sekolah itu hanya dijalankan selama beberapa bulan dan tak sempat mendapat hasil, terus dilaksanakan serta-merta pada 1 Januari 2011. di situ, kita nampak mereka terburu-buru melaksanakan sistem PBS itu sendiri.
Maka, daripada pelbagai laporan yang diterima itu, dapatlah kita simpulkan bahawa banyak pihak nampaknya kurang ‘mesra’ bagi menggunakan sistem ini. Ternyata, lebih banyak rungutan disebabkan bebanan yang terpaksa ditanggung guru dan pentadbiran berbanding rasa berpuas hati untuk penggunaan sistem ini. Justeru, diharapkan semoga langkah yang paling baik akan dapat dilakukan oleh pihak yang berwajib untuk menyelesaikan satu persatu keluhan ini agar sistem pendidikan negara bertambah baik dalam mencapai Negara Maju 2020.
Cara menangani isu
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memandang serius mengenai isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan akan kesannya kepada murid. PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid. Dalam hal pelaksanaannya, KPM sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru-guru dan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan arahan YAB Menteri Pendidikan supaya KPM membuat kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PB, pihak KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaan agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru. Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kekerapan guru memasukkan data-data berkaitan ‘evident’ dan pencapaian murid yang termasuk juga pengisian borang-borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru.
Di samping memastikan kajian dan penelitian tersebut dilaksanakan secara berkesan, KPM juga telah mengambil langkah-langkah segera bagi menanganinya seperti:
1) Menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula 17 Februari 2014 bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.
2) Mengadakan perbengkelan yang melibatkan guru-guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS. Bengkel tersebut telah dilaksanakan pada awal dan pertengahan bulan Februari 2014 dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh masa yang terdekat.
3) Menubuhkan Jawatankuasa Task Force PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.
4) Mewujudkan War Room di peringkat KPM bagi menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklum balas segera mengenainya dari semasa ke semasa.

5) Usaha-usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS)juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem tersebut secara lebih mudah dan berkesan.
Kesemua tindakan tersebut diambil adalah bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan tafsiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya. KPM akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap pelaksanaan PBS setelah YAB Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan dengan mengambil kira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM)
Terbaru, menurut Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof (23 Februari 2014) berkata ‘pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ditangguhkan sehingga ia dimuktamadkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam masa terdekat. Kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan PBS sedang dijalankan dan cadangan penambahbaikan akan dikemukakan kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin’ untuk keputusan .Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak Kementerian sebenarnya sangat memandang serius akan isu ini di mana banyak tindakan diambil dengan segera dan tindakan susulan juga diketengahkan untuk menangani segala teka-teki permasalahan ini. Justeru, bersabarlah dan berdoalah agar segala permasalahan ini akan dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik di samping dapat meringankan beban tugas yang perlu dipikul oleh seseorang guru itu.
Cadangan
Pada pandangan saya, pelaksanaan sistem PBS ini tidaklah terlalu dipandang negatif cuma ia kelihatan negatif disebabkan sistemnya yang kurang memberangsangkan menyebabkan banyak guru naik berang atas sebab banyak masa mereka terganggu. Jadi, jika permasalahan sistem ini dapat diselesaikan, pasti sistem ini akan menjadi sistem yang banyak memberi perubahan ke arah menaikkan nama negara kita di persada dunia. Menurut laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tujuan utama pelaksanaan PBS ini adalah untuk menambah baik UPSR dan PMR mulai pada 2011 bagi pelajar tahun 1 dan tahun 2012 bagi pelajar tingkatan 1. Maka, dari itu , dapat disimpulkan bahawa Kementerian dalam usaha untuk membangunkan sistem pendidikan negara cuma terdapat sedikit masalah mengenai sistem ini.
Justeru, terdapat beberapa cara yang dapat saya cadangkan di sini iaitu yang pertama meningkatkan kebolehan sistem penerimaan maklumat agar guru tidak perlu tunggu atau berjaga hingga ke lewat malam semata-mata untuk berebut memasukkan data pelajar ke dalam sistem. Mungkin kementerian dapat menyediakan sistem yang lebih terancang seperti jadual contohnya. Kementerian menetapkan tarikh-tarikh dan masa untuk guru memasukkan data mengikut daerah atau sekolah kerana kebanyakan guru mengeluh disebabkan mereka tidak dapat memasukkan data pelajar dan terpaksa menunggu hingga ke lewat malam. Jika jadual dapat dihasilkan dengan menetapkan sekolah-sekolah atau daerah untuk mengisi data dalam satu-satu masa, saya berasakan masalah ini akan dapat diatasi kerana guru tidak perlu berebut-rebut untuk memasukkan data sekali gus beramai-ramai.
Mungkin kementerian boleh berusaha untuk meningkatkan kapasiti(kuota) bilangan kemasukan data dalam satu-satu masa. Sistem ini hendaklah ditingkatkan dengan menambah bilangan kapasiti data untuk dimasukkan ke bilangan yang lebih besar agar kesesakan data untuk dimasukkan dapat dielakkan. Maka , jika ini dapat dilakukan, pasti kesesakan data atau ‘system down’ dapat ditangani dan kemasukan data dapat dijalankan dengan lebih lancar dan terancang tanpa memerlukan guru untuk bersengkang mata hingga ke lewat malam semata-mata untuk memasukkan data ini. Jadi, di siang hari pun guru dapat memasukkan data dan di malam hari pula guru dapat merancang akan proses PnP pada keesokan harinya.

Selain itu, langkah yang dapat dijalankan adalah sistem online yang dijalankan mungkin boleh ditukarkan kepada sistem offline. Guru hanya mengisi data dan serahkan kepada pejabat sekolah. Langkah seterusnya pihak pejabat yang akan menghantar data tersebut ke pihak kementerian. Maksudnya di sini, pihak pejabat hanya menghantar markah ke pihak kementerian bukanlah pihak pejabat yang terlibat dalam mengisi markah murid seperti sistem KBSM dan KBSR dahulu. Maka, guru hanya memainkan peranan untuk memasukkan data pelajar sahaja ke dalam sistem dan pihak pejabat cuma tolong ‘submit’ data tersebut sahaja. Jadi, berkuranglah beban guru yang terpaksa ditanggung itu dengan menjadikan mereka tidaklah terlalu stress dalam mengisi data murid tersebut.
Dengan itu , harapan para guru amat tinggi menantikan usaha dalam penambahbaikan yang bakal dilakukan dan sedang dilakukan oleh kementerian dalam menangani isu ini. Sememangnya guru terasa bebanan yang terpaksa dipikul mereka sangat berat di mana banyak kerja terpaksa dilakukan berbanding sistem sebelum ini. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, tambah baik bermaksud men??jadi semakin baik: Prestasi pelajaran’?nya ~. menambah baik menjadikan sesuatu lebih baik: Kerajaan akan ~ perkhidmatan yang sedia ada. pe??nambahbaikan perbuatan atau hal menambah baik sesuatu: Usaha ~ kemudahan asas akan dilaksanakan di kawasan itu. penambah baik sesuatu (bahan dsb) yang menambah baik. Maka, untuk penambahbaikan seperti yang dijanjikan oleh kementerian kepada guru dalam menjadikan sistem PBS ini lebih baik hendaklah dilakukan dengan segera agar isi bebanan guru ini dapat diatasi dengan segera.

Penutup
Konklusi nya, sesetengah pihak janganlah terus menerus menyalahkan pihak kementerian sahaja dengan tidak berasas. Tampillah ke hadapan untuk membantu meningkatkan sistem pentadbiran negara kita ini. Setiap idea-idea yang disumbangkan yang bermakna dan bernas pasti akan dipertimbangkan sedikit sebanyak membantu negara kita dalam membentuk satu sistem yang lebih sistematik dan berkesan. Kita begitu mudah menghentam pihak atasan (Kementerian Pendidikan) dengan sistem pendidikan yang ketinggalan zaman, tapi tidak sama-sama berusaha untuk melaksanakannya.
Dulu kita begitu beria-ia mengadu tentang Kementerian Pendidikan dengan jadual peperiksaan yang terlalu banyak seperti UPSR, PMR, SPM, SPM, STP dan sebagainya. Ini belum dikira dengan peperiksaan ujian bulanan, peperiksaan percubaan dan lain-lain lagi. Oleh itu semua pihak seperti ahli politik, ahli akademik, NGO, guru-guru, pelajar dan masyarakat harus melihat sistem ini dengan pandangan yang positif. Berikan masa kepada pihak kementerian untuk mengkaji, menambah baik dan melaksanakan dengan lebih baik lagi sesuatu sistem ini. Kewajaran kita untuk berusaha agar sistem pendidikan yang dilaksanakan di negara kita antara yang terbaik di dunia.
Untuk melaksanakan sistem ini agar lebih baik dan berjaya pihak kerajaan perlu penambahbaikan sistem jalur lebar (internet) di negara kita agar lebih laju supaya segala pangkalan data untuk dihantar ke satu-satu tempat tidak tergendala atau gagal. Pihak Kementerian bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan rangkaian telekomunikasi perlu bekerjasama agar talian internet di negara kita menjadi lebih laju seperti di negara luar juga. Justeru, marilah kita bersama-sama berganding bahu bersama-sama menyalurkan idea dan sokongan kepada pihak Kementerian dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk permasalahan ini.

Rujukan
1) Laman Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, http://www.moe.gov.my/
2) Kamus Dewan Edisi Ke Empat
3) Buku Pendidikan Guru (Cabaran, Falsafah dan Strategi Dalam Pembentukan Guru Yang Unggul)
4) Buku Ilmu Pendidikan (Pengetahuan dan Keterampilan Ikhtisas)
5) Buku Pengujian dan Penilaian dalam Pendidikan
6) Journal of Education Teacher
7) Prosiding Sidang Mesyuarat Kementerian Pendidikan Malaysia 2011
8) Pustakawan Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI

Lampiran

Source: Essay UK - http://www.essay.uk.com/essays/education/essay-kegagalan-sistem-pentaksiran-berasaskan-sekolah-pbs-di-malaysia/


Not what you're looking for?

Search our thousands of essays:

Search:


About this resource

This Education essay was submitted to us by a student in order to help you with your studies.


  • Order a custom essay
  • Print this page
  • Search again

Word count:

This page has approximately words.


Share:


Cite:

If you use part of this page in your own work, you need to provide a citation, as follows:

Essay UK, Essay: Kegagalan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Malaysia. Available from: <http://www.essay.uk.com/essays/education/essay-kegagalan-sistem-pentaksiran-berasaskan-sekolah-pbs-di-malaysia/> [26-07-17].


More information:

If you are the original author of this content and no longer wish to have it published on our website then please click on the link below to request removal:


Essay and dissertation help


Latest essays in this category:


Our free essays:

badges